Sabtu, 25 Julai 2009

Hikmah disebalik pendengaran dan penglihatan

Jika anda seorang pembaca al Quran yang lazim, anda tentu perasan bahawa perkataan "as sam'a" yang membawa maksud pendengaran selalu mendahului perkataan "al Absaar" yang bererti penglihatan.

Pernahkah anda terfikir kenapa Allah menyusun sedemikian di dalam kitabNya yang Maha Agung ini?

Sesungguhnya Allah jualah yang mengetahui rahsia di sebaliknya. Tetapi kita sebagai hambaNya digalakkan untuk berfikir tentang ciptaanNya kerana segalanya pasti mempunyai hikmah yang tersembunyi. Maha Suci Allah!

Mungkin inilah rahsianya mengapa perkataan "as sam'a" didahulukan daripada "al absaar":

Yang pertama, mengikut ilmu embryology (perkembangan di dalam rahim ibu), deria pendengaran adalah deria pertama yang dijadikan Allah.
Fetus sudah boleh mendengar bunyi ketika 24 minggu di dalam kandungan.
Manakala deria penglihatan pula terbentuk ketika usia 28 minggu di dalam kandungan, di mana ketika itu retina menjadi sensitif kepada cahaya.

Rahsia yang kedua pula, pendengaran merupakan satu-satunya deria yang aktif walaupun manusia itu sedang tidur, sedangkan penglihatan tidak.

Sebab itu kita mampu dikejutkan dengan jam loceng untuk bangun di waktu pagi. Di dalam surah al Kahfi ayat 11, disebutkan tentang peristiwa Ashabul Kahfi yang tidur selama 309 tahun dengan ayat berikut:

"Maka Kami tutup telinga mereka beberapa tahun dalam gua itu." (al Kahfi: 11)

Oleh itu, peliharalah nikmat As Sam'a wal Absaar yang dipinjamkan Allah kepada kita ini dengan sebaik-baiknya, kerana kelak kita akan ditanya mengenainya. ..Wallahu a'lam.

"Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungjawabann ya."
(al Israa':36)

Tiada ulasan: